
Suami Abai Isteri Sakit Kemaruk Janda Berhias|PANGGILAN
telefon daripada pemanggil yang tidak mahu dinamakan yang diterima bukan sahaja
berniat meluahkan rasa, malah dia juga meminta penulis berkongsikan kisahnya
supaya dijadikan pengajaran buat pasangan berkahwin di luar sana.
Mendirikan masjid ALLAH bukan kerja mudah. Apatah lagi dia dan suami bukan
berasal daripada keluarga berada.
Namun berkat kesabaran, doa dan tawakal, daripada berkongsi hanya satu gelas
plastik di bilik sewa di perkampungan setinggan, kini dia dan suami sudah
memiliki tiga buah rumah dan tiga orang anak.
Sebagai umat Islam yang dikurniakan nikmat.
Namun, dalam kesibukkan mengejar harta dunia, bahagia yang diharap berkekalan
selamanya hanya sekejap cuma.
Dahulu, suami sering pulang dengan senyuman dan pelukan mesra, namun setelah
lebih 25 tahun bersama, sikap suami bertukar hambar.
Dahulu, walaupun dengan gaji empat angka, suami riang mengajak dia dan
anak-anak bercuti ke sana ke mari, namun sejak anak-anak semakin dewasa, yang
ada hanyalah kedinginan dan ‘perang mulut’ antara suami dan anak-anak.
Dahulu segala kelengkapan rumah dipenuhi bersama, kini, meskipun bergaji
mencecah lima angka, suami dingin malah mengherdik dia dan anak-anak setiap kali
nafkah zahir diminta.
“Puas saya memikirkan punca, mengapa jadi begini? Di mana silapnya? Adakah
kerana saya dan anak-anak terlalu membebankan dirinya?” ujar wanita itu
memulakan perbualan.
Sikap suami yang dahulunya penyayang dan romantis bertukar dingin.
“Saya bukanlah berkira, namun suami yang bergaji lebih besar harus memikul
tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga, suami dan bapa kepada anak-anak. Barang
keperluan dapur tidak dibeli, ketiga-tiga rumah dan kereta juga ditanggung
dengan gaji saya sendiri.
“Tidak termasuk dengan keperluan anak-anak yang masih menuntut di institut
pengajian tinggi.
Semuanya memerlukan perbelanjaan yang besar. Setiap kali saya
dan anak-anak meminta, yang kami dapat hanya caci maki dan kadang-kadang
tamparan daripadanya,” katanya.
Hal kebajikan dirinya dan anak-anak diabaikan. Perbelanjaan dapur diserah
bulat-bulat kepada si isteri.
Anak-anak pula terkontang-kanting terbiar di
asrama penuh institut pengajian tinggi masing-masing.
Setiap kali anak mengadu sakit, yang diberi hanyalah leteran panjang yang
menyakitkan hati.
“Membazir duit aku je (sahaja),”itu dialog biasa suami setiap kali ada antara
anak-anak yang tiba-tiba jatuh sakit.
Setiap kali berlaku perbalahan antara suami dan anak-anak, ??wanita itu hanya
diam. Anak-anak yang menjadi pembelanya sering menjadi mangsa pukulan suami.
Pernah sekali dia membuka mulut, mengiakan kata-kata anak-anak, namun dia pula
yang jadi mangsa seterusnya.
Suatu hari, dia jatuh sakit. Pada mulanya dia tidak ambil peduli. Daripada
hanya sakit pinggang dan belakang, kini sakitnya terasa ke seluruh tubuh. Akibat
terlalu sakit, dia tidak mampu melelapkan mata.
Suami tidak peduli. Yang penting hanya gajetnya. Si isteri yang sedang dalam
kesakitan dibiarkan di sudut katil. Menahan rasa sejuk dan sakit yang
menyelubungi seluruh tubuh.
“Apabila saya mengerang sedikit, dipandangnya saya dengan pandangan penuh
meluat dan kebencian. Seolah-olah saya seorang penagih dadah yang meminta
nyawanya ketika itu,” luahnya.
Suhu bilik yang terlalu sejuk menyebabkan dia beralih tempat tidur ke ruang
tamu, manakala suami hanya dibiar dalam bilik tidur.
“Anak sulung datang menjengah saya yang terbaring di ruang tamu. Jam 1 pagi,
anak sulung mengurut seluruh tubuh, cuba memujuk saya untuk tidur.
“Suami tiba-tiba keluar dari bilik. Memandang kami berdua dengan pandangan
biasa dan terus berlalu ke dapur untuk menjamah sedikit makanan. Wajah anak yang
menahan rasa mengantuk ditatap kosong. Wajah saya yang menahan kesakitan
dipandang tanpa rasa.
“Sampainya hati suami. Berpuluh tahun saya setia, ini balasan daripadanya
untuk saya. Saya yang mengandungkan anak-anaknya. Saya jugalah yang berdiri di
sisinya, memberi kata-kata semangat setiap kali dia jatuh.
“Makan pakainya saya jaga. Tempat tidur dan keperluannya saya penuhi. Dan
saya tidak pernah meminta apa-apa selama ini, hatta seurat gelang emas
sekalipun. Namun tatkala saya mengharapkan simpati suami, yang diberi hanyalah
pandangan penuh benci ,” katanya lagi.
Hampir sejam anak sulung mengurut tubuh, wanita itu mengucapkan terima kasih
dan menyuruh anaknya untuk masuk tidur. Manakala dia pula menyambung kegelisahan
di ruang tamu.
“Hinggalah pada jam 4 pagi, saya meminta suami membawa saya ke klinik kerana
tidak mampu untuk memandu sendirian, namun apa yang keluar daripada mulutnya
amat mengejutkan,”
“Kenapa? Dah nak mati ke?”
“Sakit sangat ke sampai tak boleh tunggu pagi esok?”
Suami menyoal bertalu-talu apabila si isteri hanya diam. Tanpa berfikir
panjang, wanita itu terus mencapai tudung, beg tangan.
“Saya tinggalkan suami dalam keadaan menyinga dan memandu sendirian ke
hospital.
“Hati saya hancur,” ujarnya lagi.
Tiba di hospital, wanita itu melalui proses saringan sendirian tanpa
kehadiran suami. Suaminya tidak peduli. Yang ada dalam dunianya kini hanyalah
dia seorang. Bukan lagi sang isteri dan anak-anak.
Meskipun bingung dengan perubahan dirinya yang semakin lama semakin ketara,
wanita itu mengaku tidak berputus asa.
“Saya tunduk kepada ALLAH sentiasa, minta petunjuk dan peluang untuk
memperbaiki hubungan dan rumah tangga kami. Doktor sahkan saya mempunyai
penyakit batu karang dan perlu ditahan di hospital. Saya menundukkan pandangan
sewaktu menerima khabar.
Serba salah meninggalkan rumah dan anak-anak begitu
sahaja.
“Akhirnya saya memohon untuk pulang ke rumah dahulu untuk mengambil barang
dan kelengkapan yang diperlukan sewaktu di hospital,” katanya lagi.
Suami hilang entah ke mana. Tiada khabar tiada berita sejak wanita itu
meninggalkannya awal pagi tagi. Saya tidak bertanya dan dia juga tidak
menghubungi saya untuk bertanyakan keadaan saya.
Janda berhias jadi punca
“Jam menunjukkan ke arah nombor dua ketika kereta saya menjalar masuk ke
ruang parkir. Kereta suami masih di bawah teduhan di hadapan rumah ketika saya
masuk ke dalam rumah,” katanya.
Suasana hening seketika. Anak sulung tiada di rumah pada ketika itu kerana
menghadiri kuliahnya di universiti.
Wanita itu menuju ke bilik tidur. Terdengar suara suami tergelak kecil
sebelum menyambung kembali perbualannya dengan seseorang.
“Saya jadi kaku sebentar sebelum senyap-senyap menyusun langkah menghampiri
pintu bilik yang sedikit terkuak.
“Saya mengintai gelagat suami yang ceria, bersahaja melayani panggilan
telefon. Di hujung corong, terdengar suara manja seorang wanita lain yang ketawa
mendengarkan jenaka dari suamiku sendiri,” luahnya lagi.
Hatinya meluap-luap dengan perasaan marah dan cemburu dengan tiba-tiba.
Syaitan pantas memainkan peranan, membisikkan bisikan-bisikan hasutan yang boleh
membuatkan dirinya hilang pertimbangan.
Namun segera dia beristighfar dalam hati. Cuba menenangkan perasaan yang kian
membara.
Sebaik sahaja suami menyusun langkah ke dalam bilik mandi, wanita itu terus
meluru ke meja solek dan mengambil telefon bimbit suami.
Cepat-cepat ditekan butang ‘home’ bagi mengelakkan paparan skrin terkunci
secara automatik.
Dibukanya ruangan aplikasi media sosial Whatsapp milik sang suami. Perbualan
yang paling atas ditekan tanpa berfikir.
Terpampang wajah seorang wanita berambut kerinting dan bermekap tebal.
Dibeleknya perbualan Whatsapp antara suami dan wanita yang tertera dengan nama
Sue Mona di skrin.
Penuh dengan ayat-ayat cinta berbaur lucah.
Pandangannya gelap serta-merta. Seluruh dunia terasa ligat berpusing. Dia
hampir terjelepuk ke lantai, namun sempat berpaut pada meja solek di sisi.
Suaminya yang keluar daripada bilik air, meluru ke arahnya. Suami cuba
merampas telefon bimbit di tangannya.
“Sewaktu bergelut, dia tolak saya sampai terjatuh saya ke meja solek. Sanggup
dia membelakangi saya, isterinya yang selama ini sentiasa bersusah payah deminya
untuk seorang wanita,” luahnya.
Dia hilang pertimbangan. Tembok kesabarannya selama ini bertahan kukuh,
runtuh rebah ke tanah.
Suaminya yang selama ini disanjung, ditengking dimarahi tanpa sedar.
Setelah didesak berkali-kali, akhirnya suami meluahkan rahsia.
“Mereka sudah bertemu dan bersama sejak tujuh tahun lepas. Sue janda berhias
dan mempunyai enam anak. Hubungan yang mereka ada hanyalah ‘for fun and
pleasure’ (untuk keseronokan).
“Dan kerana janda berhiaslah, suami hilang minat terhadap saya dan
anak-anak,” katanya.
Setelah di selidik, sudah banyak wang suami dihabiskan untuk si janda selama
ini. Daripada rumah, kereta dan barang perhiasan, hinggalah keperluan anak-anak
wanita itu ditanggung oleh suaminya.
“Selama ini, saya dianiaya suami sendiri. Anak-anak pula menjeruk rasa. Saya
biarkan kali ini dia membuat pilihannya. Jika Sue kemahuannya, Sue lah yang saya
berikan kepadanya.
“Saya dan anak-anak rela undur diri demi kebahagiaan suami, ayah mereka,”
ucapnya.
