
UPPER DOLPA,
Nepal – Apabila Tashi Sangmo berusia 17 tahun, gadis itu mengahwini jirannya
yang berumur 14 tahun dan adik lelakinya di sebuah kampung di pedalaman banjaran
Himalaya di Nepal.
Pada zaman dahulu, anak-anak lelaki dalam hampir
setiap keluarga di rantau ini akan berkongsi seorang wanita sebagai
isteri.
Dikenali sebagai poliandri, amalan tersebut semakin terpinggir
setelah masyarakat Nepal terdedah kepada budaya kehidupan moden.
Namun,
beberapa buah perkampungan terpencil di Himalaya masih mengamalkan budaya
bersuami lebih daripada satu itu.
“Budaya ini memudahkan hidup wanita
kerana segala harta kekal dalam satu keluarga. Tiada pembahagian kekayaan dalam
kalangan isteri seperti amalan poligami,” kata Sangmo.
“Semua pendapatan
dikawal oleh saya. Mereka (suami-suaminya) pula bertanggungjawab mencari nafkah
untuk keluarga ini,” tambahnya.
Apabila Sangmo berkahwin dengan Mingmar
Lama 14 tahun lalu, kedua-duanya faham bahawa adik lelaki suaminya, Pasang akan
menyertai rumah tangga mereka kelak.
Ketika itu, Pasang baru berusia 11
tahun.
Keluarga berkenaan kini memiliki tiga anak lelaki dengan
masing-masing berusia lapan, enam dan empat tahun.
“Saya mahu berkongsi
ikatan perkahwinan ini bersama abang saya kerana hidup kami akan menjadi lebih
mudah,” kata Pasang, 25, di rumah mereka yang terletak di kampung Simen pada
ketinggian 4,000 meter dari aras laut.

Masyarakat
terpencil di rantau ini mengamalkan poliandri bagi mengelakkan sesebuah keluarga
membahagi-bahagikan harta mereka.
Perasaan cemburu pula tidak wujud dalam
kalangan mereka. “Saya tidak cemburu berkongsi isteri dengan abang saya. Jika
saya cemburu, pastinya saya akan mengahwini wanita lain,”
kata seorang lagi
pemuda yang mengamalkan budaya poliandri yang dikenali sebagai Pema.
Dia
dan abangnya, Karma dengan rela hati berkongsi seorang isteri berusia 30 tahun,
Shitar Dorje.
Keluarga poliandri biasanya bersikap tidak kisah berhubung isu
bapa kandung dengan anak-anak mereka memanggil kedua-dua bapa dan bapa saudara
sebagai “ayah”.
Rantau terpencil ini terletak sekitar 500 kilometer dari
ibu negara Nepal, Kathmandu.


