
Wanita Kongsi Cerita Pengalaman Dirogol Jin Zaka|Saya dan
adik beradik selalu terlihat lembaga hitam yang besar seakan manusia setinggi
kira-kira dua meter sehingga mencecah siling’
“SAYA menerima qada dan qadar ini serta reda atas setiap ujian Allah SWT
tetapi kadang-kadang saya terfikir mengapa seseorang itu sanggup ‘mengorbankan’
keluarga sendiri demi mewarisi adat nenek moyang yang jelas bertentangan dengan
Islam.”
Begitulah luahan seorang wanita selepas membaca rencana mengenai angkara Jin
Saka yang disiarkan dalam Dimensi, tiga minggu lalu. Wanita yang hanya mahu
menggelar dirinya Alia, menghantar emel untuk berkongsi pengalamannya lebih 20
tahun dihantui jin Saka yang diwariskan datuk kepada ayahnya.
Berikutan itu, Alia menetap di luar negara untuk mengelak pelbagai gangguan
mistik dan menyeramkan angkara saka itu. Ikuti luahannya:
Datuk meninggal dunia ketika saya masih kecil, baru darjah dua. Sebelum
meninggal, datuk sebelah ayah lumpuh selama setahun.
Sejak kematian datuk, selalu ada kesan lebam di badan saya terutama paha ke
bawah tetapi ibu anggap ia perkara biasa kerana kanak-kanak sering bermain,
kerap jatuh dan terlanggar.
Ketika saya di sekolah rendah, ayah bekerja di negeri lain menyebabkan kami
tinggal berasingan. Ketika ketiadaan ayah, saya dan adik beradik lain selalu
terlihat kelibat lembaga hitam yang amat besar dan berbentuk seakan manusia di
rumah kami.
Lembaga hitam itu setinggi kira-kira dua meter sehingga mencecah
siling.
Saya selalu demam terkejut melihat lembaga berkenaan. Saya beritahu
ibu tapi ibu kata itu hanyalah khayalan kanak-kanak.
Disebabkan ayah bekerja di negeri lain, dua minggu sekali barulah dia pulang
melihat kami. Dua atau tiga hari sebelum ayah pulang, saya dan ibu pasti
terdengar suara ayah memanggil tetapi apabila berlari ke pintu dan membukanya,
saya hanya terlihat kelibat lembaga hitam.
Ibu selalu mengadu sakit pinggang dan bisa di kaki. Badannya terasa seperti
dicucuk jarum halus apabila ayah pulang. Dalam rumah pula, selalu muncul
serangga seperti belalang bersaiz empat hingga lapan sentimeter panjang,
berwarna hijau keperang-perangan dan merah malah serangga itu berbunyi sungguh
kuat dan berdesing.
Ketika kami berpindah tinggal bersama ayah apabila saya di sekolah menengah,
keadaan menjadi bertambah teruk. Saya selalu lewat bangun ke sekolah kerana
setiap malam, badan terasa dihimpit lembaga hitam yang besar.
Apabila bangun tidur, lebam sebesar syiling 50 sen atau lebih besar kelihatan
di kaki dengan kesan gigitan. Pinggang terasa seperti paku mencucuk. Sebelum
datang haid, saya ada lebam di paha dan kitaran haid juga tidak normal malah
kadang-kadang tiada langsung.
Sebelum muncul lebam, serangga seperti belalang muncul dalam rumah bersama
bau bangkai yang amat busuk selain bau darah hanyir. Perkara ini kerap berlaku
pada malam Jumaat dan badan saya akan berasa panas. Saya sering mengadu kepada
ayah sebaliknya dimarahi dan memberi pelbagai alasan.
Disebabkan terlalu kerap menghidap penyakit itu, saya, ibu dan adik-beradik
lain mengambil ujian darah kerana khuatir menghidap leukimia. Ujian darah
bagaimanapun mengesahkan kami sihat.
Disebabkan keadaan kami semakin mudarat dan pemeriksaan kesihatan moden gagal
mengesan sebarang penyakit, kami cuba berubat tradisional dan ramai pengamal
perubatan mengatakan kami terkena sihir.
Ada antara mereka menyuruh kami mandi air garam, air daun, air tujuh masjid,
tujuh kolah, tujuh perigi, air zamzam, meletak jala dalam rumah dan pelbagai
kaedah lain tetapi lebam, bisa badan dan sakit pinggang tidak berkesudahan malah
semakin teruk.
Perangai ayah juga berubah sejak kami tinggal bersamanya. Setiap malam
Jumaat, dia bergegas ke rumah nenek tapi sebelum itu akan mengamuk dan naik
berang tanpa sebab hingga kami ketakutan.
Kami terus berubat tradisional dan daripada seorang pengamal perubatan, kami
diberitahu masalah ibu dan saya berpunca daripada ‘belaan’ keluarga suami. Dia
menyatakan lebam itu akibat jin belaan memakan darah sebagai perjanjian menjaga
harta benda dan anak cucu yang dibuat lama dulu oleh keturunan ayah.
Beliau menyuruh ibu membawa ayah berjumpa dengannya jika hendak berubat.
Pengamal perubatan menjelaskan sendiri kepada ayah tapi sebaik mendengar
penjelasan itu, ayah benar-benar marah dan tidak percaya. Dia menuduh keluarga
ibu terbabit.
Kali ketiga kami datang untuk berubat, pengamal perubatan itu tidak lagi mahu
menerima kedatangan kami kerana keluarganya kacau bilau dan isteri pengamal
perubatan itu dirasuk lembaga hitam dan berbulu. Yang peliknya, sesiapa saja
termasuk pengamal perubatan yang hendak menolong saya dan ibu pasti dilanda
musibah pelik-pelik.
Sejak itu, saya dan ibu sakit bertambah teruk – selalu demam, tidur malam
terasa dihimpit dan bermimpi dirogol lembaga hitam besar.
Sehinggalah kami bertemu seorang ustaz untuk berubat. Selepas diperiksa,
ustaz itu mula menerangkan dengan terperinci perkara sebenar:
“Keturunan sebelah ayah dulu ada membuat perjanjian dengan makhluk itu
melalui perantaraan seseorang yang dianggapnya sebagai ‘wali’ ketika menuntut.
Wali itu menghadiahkan ‘khadam’ untuk menolong menjaga harta benda dan keturunan
anak cucunya, membuka kebun selain menjadikan orang lain melihatnya gagah, kuat
dan berasa gerun.
“Selepas datuk meninggal, makhluk itu terbiar lama, tidak diberi layanan dan
ganjaran seperti janji tuannya dulu menyebabkan ia mengamuk dan mahukan layanan.
Sebelum kehadiran makhluk jin besar keturunan Ifrit jantan atau digelar hantu
raya dalam budaya Melayu itu, akan ada bau busuk dan serangga seperti belalang
atau serangga lain.
“Makhluk itu berbulu seperti mawas, amat ganas dan memakan darah dan air mani
manusia untuk hidup, akan menggigit dan meninggalkan tanda kepada semua
keturunan keluarga ayah,” katanya.
Ustaz itu juga menerangkan, makhluk itu kadang-kadang menyerupai ayah dan
sering merogol ibu dan saya ketika tidur. Apabila kami tidur, kadangkala
bermimpi melahirkan anak kecil.
Makhluk itu juga berupaya mengacau-bilau dan memecah belahkan keluarga jika
tuntutannya tidak dipenuhi. Ustaz itu menambah, jika tidak berhati-hati,
kemungkinan ada kematian kerana makhluk itu mahukan makanannya (darah) yang
banyak. Saya tidak tahu betul atau tidak, tetapi ramai keluarga di sebelah ayah
yang mati pada usia muda. Wallahualam.
Kami berubat tapi masalah lebam masih berterusan dan mimpi dirogol masih
berterusan. Saya juga kerap bermimpi anak kecil selain bermimpi melahir dan
menyusukan bayi. Pernah sekali antara sedar dan tidak, saya melihat lembaga
hitam menyerupai ayah mengaku yang ‘ia’ sudah mati dan hendak memeluk saya.
Apabila saya sedar, saya menjerit dan lembaga itu hilang. Dua tiga hari
selepas insiden itu, bau hanyir darah memenuhi bilik. Semua cadar dicuci tetapi
bau masih ada. Insiden pelik lain ialah bunyi sesuatu menghempap bumbung dan
mencakar siling terutama pada tengah hari dan malam.
Kelakuan ayah juga pelik apabila membiarkan sekeping bumbung (atap) rumah
terbuka pada setiap bilik, meletakkan parang atau sebilah pisau kecil di bawah
permaidani, katil atau kerusi dan makan dalam kuantiti yang banyak malah
berpinggan-pinggan.
Ayah juga ada menyimpan keris kecil yang katanya, pusaka yang harus dijaga
rapi selain sehelai kain putih berbentuk gelang yang dililit.
Setiap malam Jumaat atau malam Rabu, ayah memakai wangian yang baunya sungguh
kuat dan membuka semua tingkap dengan luas. Ayah juga tidak mahu tidur dengan
ibu dan mengunci diri dalam bilik keseorangan.
Pernah saya mengintai dan melihat dia bercakap seorang diri dan ketika itu di
luar rumah ada bunyi serangga seperti belalang yang berdesing kuat.
Ustaz yang kami temui juga pernah berkata, datuk saya itu tidak boleh
meninggal dunia selagi ‘amalannya’ diturunkan kepada waris keturunannya
menyebabkan ustaz itu menasihatkan saya dan ibu memutuskan hubungan dengan ayah
dan duduk sejauh mungkin bagi mengelakkan gangguan berterusan.
Alhamdulillah, kami mengikuti nasihat itu. Kini saya menetap di luar negara
dan dalam proses membawa ibu tinggal bersama-sama. Masalah lebam masih ada
tetapi sudah tidak seteruk dulu.
Buat masa ini, saya mengamalkan bacaan beberapa ayat suci al-Quran dan
bersolat lebih tekun untuk mengelak diganggu. Bisa di badan dan mimpi dirogol
atau dihempap makhluk hitam, Alhamdulillah sudah tiada.
Memang sukar untuk masyarakat mempercayai perkara ini, tetapi pada hakikatnya
inilah masalah yang melanda masyarakat Melayu hingga kini.
Mungkin ada sesetengah pihak menganggap perkara ini remeh tetapi amalan saka
jika tidak dibendung membawa mudarat – perpecahan rumah tangga, perceraian suami
isteri, syak wasangka, pergaduhan antara saudara dan masyarakat, sakit misteri
berlanjutan dari segi fizikal dan mental serta hidup tidak lagi tenang.
Saya berharap jika ada sesiapa yang menghadapi masalah saka, berubatlah dan
buanglah perkara jahil ini. Bertaubat serta kembalilah ke jalan Islam yang
sebenar dan percayalah kepada kekuasaan Allah dan amalan Nabi dan Rasul.
