KUALA
TERENGGANU - Seorang pengetua sekolah dan pasangannya yang masih berstatus
isteri orang dikenakan hukuman denda RM2,700 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala
Terengganu, semalam, selepas mengaku salah berkhalwat.
Pasangan itu,
Rosdi Mohamad Salleh, 49, dari Bukit Payong, Marang, yang juga masih memegang
status suami orang dan Zaipah Draman, 48, juga dari Bukit Payong, turut berdepan
hukuman lima bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.
Hakim Rendah
Syarie, Mat Ropi Busu membuat keputusan itu selepas mereka berdua mengaku salah
terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah
(Takzir) (Terengganu) 2001.
Berdasarkan fakta kes, pada 6 Januari lalu,
sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa syariah yang membuat rondaan di
sekitar pantai Batu Buruk, di sini, kira-kira jam 10 malam, sebelum
memperluaskan rondaan ke kawasan sekitar sebuah hotel berhampiran.
Sebaik
menghampiri kawasan berkenaan, anggota dan pegawai penguat kuasa ternampak
pasangan itu dalam keadaan mencurigakan lalu membuat intipan.
Intipan
selama beberapa minit kemudian mendapati pasangan berkenaan sedang bercumbuan
dan sebaik dihampiri, didapati kepala wanita sedang menunduk ke arah paha
lelaki.
Sebaik diserbu, lelaki itu segera bangun dan memperbetulkan
pakaiannya manakala siasatan mendapati pasangan itu bukan pasangan suami isteri
atau mahram.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan
Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat."
Pendakwaan
dikendalikan pendakwa syarie, Muhammad Hafiz Razali.
